TEKS PENUH ANALISA KEPUTUSAN PEPERIKSAAN UPSR 2011

KENYATAAN AKHBAR PENGUMUMAN DAN ANALISA KEPUTUSAN PEPERIKSAAN UPSR 2011

PENGUMUMAN ANALISIS KEPUTUSAN
UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH (UPSR)
TAHUN 2011
Oleh
Y.BHG. DATO’ SRI ABD. GHAFAR BIN MAHMUD
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
17 NOVEMBER 2011
21 ZULHIJJAH 1432
DI
BILIK MESYUARAT UTAMA
TINGKAT 6, BLOK E8
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
PUTRAJAYA
LEMBAGA PEPERIKSAAN
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

PENDAHULUAN

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya memanjatkan kesyukuran kehadratNya kerana diberi kesempatan untuk membentangkan analisis keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun 2011. Untuk makluman, semua calon akan menerima keputusan mereka mulai jam 10.00 pagi ini di sekolah masing-masing. Semua calon juga boleh mendapat keputusan ringkas melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS).

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

Matlamat persekolahan di sekolah rendah adalah untuk menyediakan murid dengan kemahiran asas 3M yang sangat penting iaitu menulis, membaca dan mengira. UPSR dilaksanakan pada akhir Tahun 6 untuk mentaksir sejauh mana calon telah dapat menguasai tiga kemahiran yang saya sebutkan tadi ditambah dengan penguasaan kemahiran saintifik sebagai memenuhi tuntutan akademik persekolahan di sekolah rendah. Selain kemahiran akademik, murid-murid seharusnya diberi peluang untuk membangunkan potensi diri masing-masing agar menjadi insan yang seimbang.

Maklumat daripada keputusan UPSR ini boleh dirujuk oleh pelbagai pihak untuk mengetahui tahap penguasaan murid dalam kemahiran 3M dan kemahiran saintifik yang diterapkan melalui mata pelajaran yang diajar di sekolah rendah. Keputusan UPSR boleh digunakan oleh pentadbir sekolah menengah sebagai maklumat untuk menentukan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai. Ini bermakna keputusan UPSR bukan merujuk kepada lulus atau gagal seseorang murid tetapi merujuk kepada tahap pencapaian murid di tahun akhir persekolahan rendah.

UPSR Tahun 2011

Para hadirin sekalian,

Syukur Alhamdulillah, pada tahun ini UPSR dapat berjalan dengan lancar. Pada tahun ini sejumlah 497,691 orang murid telah mendaftar sebagai calon UPSR. Jumlah ini merangkumi 489,101(98.3%) calon Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia dan 8,590 (1.7%) calon sekolah swasta. UPSR telah dijalankan serentak di seluruh negara pada 13, 14 dan 15 September 2011. Sebanyak 8,235 pusat peperiksaan disediakan manakala seramai 48,560 orang petugas peperiksaan telah dilantik untuk pentadbiran peperiksaan. Seramai 11,080 orang pemeriksa telah dilantik untuk menjalankan pemeriksaan kertas subjektif.

Keputusan UPSR 2011

Seperti tahun-tahun lepas, keputusan UPSR tahun ini juga dilaporkan berdasarkan Pencapaian Calon dan Prestasi Mata Pelajaran. Pelaporan Pencapaian Calon adalah merujuk kepada sejauh mana calon menguasai pembelajaran di sekolah rendah dalam kesemua mata pelajaran yang diuji. Indeks yang digunakan untuk menunjukkan pencapaian calon di seluruh negara ialah Gred Purata Nasional (GPN). Prestasi Mata Pelajaran pula merujuk kepada sejauh mana calon menguasai pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam setiap mata pelajaran yang diuji. Indeks yang digunakan untuk menunjukkan prestasi mata pelajaran ialah Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) bagi setiap mata pelajaran. Nilai gred purata yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik.

Keputusan UPSR tahun ini akan dibandingkan dengan keputusan tahun 2010 untuk melihat sama ada prestasi UPSR 2011 secara keseluruhan meningkat atau menurun.

Pencapaian Calon

Para hadirin yang dihormati sekalian,

Jadual 1 menunjukkan pencapaian calon UPSR dari tahun 2008 hingga 2011. Pencapaian keseluruhan calon UPSR tahun 2011 meningkat dan merupakan yang terbaik dalam empat tahun mengikut GPN. Peratusan calon yang mendapat pencapaian Baik iaitu minimum Gred C (tidak termasuk semua A) bagi semua mata pelajaran yang diduduki telah meningkat daripada 54.38% pada tahun 2010 kepada 55.45% pada tahun 2011, iaitu peningkatan sebanyak 1.07%. Namun begitu, pencapaian calon Cemerlang (semua A) telah menurun sedikit (0.54%) iaitu daripada 10.02% pada tahun 2010 kepada 9.48% pada tahun 2011. Peratusan calon yang mendapat semua mata pelajaran di bawah tahap pencapaian minimum telah berkurangan sebanyak 0.51% iaitu daripada 3.39% kepada 2.88% pada tahun ini.

Jadual 1: Pencapaian Calon UPSR dari Tahun 2008 hingga 2011

Pencapaian Calon Bandar dan Luar Bandar

Para hadirin sekalian,

Jadual 2 menunjukkan pencapaian calon bandar dan luar bandar pada tahun 2011 berbanding 2010.

Pencapaian calon Cemerlang bandar dan luar bandar pada tahun ini, masing-masing mengalami penurunan sebanyak 0.37% dan 0.72%. Walau bagaimanapun, peratusan calon yang mendapat pencapaian Baik di bandar dan luar bandar, masing-masing telah meningkat sebanyak 0.49% dan 1.70%. Ini bermakna, peningkatan pencapaian Baik bagi calon luar bandar adalah lebih tinggi berbanding calon bandar iaitu sebanyak 1.21%.

Pada tahun ini, peratusan calon yang mendapat semua mata pelajaran di bawah tahap penguasaan minimum telah berjaya dikurangkan, terutamanya di luar bandar dengan pengurangan sebanyak 0.68% berbanding di bandar sebanyak 0.37%. Penurunan peratusan ini menunjukkan bahawa peningkatan tahap penguasaan minimum calon di luar bandar adalah lebih baik berbanding calon di bandar. Peningkatan pencapaian calon secara keseluruhan dapat juga dilihat melalui nilai GPN yang mengurang iaitu 0.01 bagi bandar dan 0.02 bagi luar bandar. Jurang pencapaian calon luar bandar dan bandar dirapatkan sebanyak 0.01.

Pencapaian Calon Berkeperluan Khas

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

Jadual 3 menunjukkan pencapaian calon berkeperluan khas tahun 2011 berbanding tahun 2010. Bilangan calon berkeperluan khas pada tahun ini bertambah seramai 59 orang. Peratusan calon berkeperluan khas yang mendapat pencapaian Cemerlang meningkat sebanyak 0.34% iaitu pertambahan seramai lima (5) orang. 17 orang calon berkeperluan khas yang mendapat pencapaian Cemerlang terdiri daripada enam orang calon rabun, seorang calon pekak, seorang calon spastik dan sembilan orang calon lain-lain kecacatan. Walau bagaimanapun, peratusan calon berkeperluan khas yang mendapat pencapaian Baik menurun sebanyak 1.87%. Gred Purata Nasional (GPN) bagi pencapaian keseluruhan calon berkeperluan khas menurun sebanyak 0.01.

Prestasi Mata Pelajaran

Untuk makluman, kandungan sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah bagi Sekolah Kebangsaan (SK) adalah lebih tinggi tarafnya daripada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK iaitu SJKC dan SJKT) . Oleh itu, taraf kertas soalan bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut lebih tinggi di SK berbanding di SJK. Justeru, analisis prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris SK dan SJK dibuat secara berasingan.

Analisis prestasi semua mata pelajaran manakala Jadual 4 menunjukkan analisis prestasi dan gred purata Bahasa Melayu di SK bagi tahun 2010 dan 2011. Bagi mata pelajaran Bahasa Melayu – Pemahaman di SK, terdapat peningkatan pada Gred A iaitu sebanyak 1.9%. Peratusan calon yang melepasi tahap penguasaan minimum (Gred ABC) meningkat sebanyak 1.1%. Walaupun prestasi Bahasa Melayu – Penulisan di SK bagi Gred A menurun sebanyak 0.6%, prestasi bagi Gred ABC meningkat sebanyak 2.9%. Ini menunjukkan bahawa pencapaian calon yang menguasai tahap minimum dalam Bahasa Melayu – Penulisan di SK adalah bertambah baik. Oleh yang demikian, prestasi bagi Bahasa Melayu – Penulisan di SK pada keseluruhannya menunjukkan peningkatan dengan nilai Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) yang berkurangan iaitu daripada 2.02 pada tahun 2010 kepada 1.96 pada tahun 2011.

Jadual 5 menunjukkan analisis prestasi dan gred purata Bahasa Melayu di SJK bagi tahun 2010 dan 2011. Prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu – Pemahaman dan Penulisan di SJK (SJKC dan SJKT) bagi Gred A meningkat masing-masing sebanyak 1.3% dan 1.9%. Peratusan calon yang melepasi tahap penguasaan minimum (Gred ABC) bagi Bahasa Melayu – Pemahaman di SJK juga meningkat sebanyak 1.2%. Walau bagaimanapun, prestasi Bahasa Melayu – Penulisan di SJK menurun sebanyak 0.8%. Penurunan peratusan ini disebabkan oleh penurunan peratusan calon yang mendapat Gred B dan C bagi Bahasa Melayu – Penulisan di SJK iaitu masing-masing sebanyak 1.5% dan 1.2%. Pada masa yang sama, peratusan calon yang mendapat Gred E pula meningkat sebanyak 1.2%.

Jadual 6 menunjukkan analisis prestasi dan gred purata Bahasa Inggeris di SK dan SJK bagi tahun 2010 dan 2011. Secara keseluruhan, prestasi bahasa Inggeris SK adalah stabil dengan nilai Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) sama seperti pada tahun 2010 iaitu 2.74. Walau bagaimanapun, peratusan calon mendapat Gred A menurun sebanyak 0.5% tetapi peratusan calon mendapat Gred ABC meningkat sebanyak 0.4%.

Secara keseluruhan, prestasi Bahasa Inggeris SJK mencatatkan penurunan dalam Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) iaitu sebanyak 0.05 iaitu daripada 2.69 pada tahun 2010 kepada 2.74 pada tahun 2011. Peratusan calon yang mendapat Gred A dan ABC juga menurun, masing-masing sebanyak 1.2% dan 1.4%.

Bagi mata pelajaran Mathematics dan Science, sukatan mata pelajaran dan kertas soalan adalah sama di SK dan SJK. Jadual 7 menunjukkan analisis prestasi dan gred purata Mathematics dan Science bagi Tahun 2010 dan 2011.

Peratusan calon yang mendapat Gred A bagi mata pelajaran Mathematics menurun sebanyak 0.3% daripada tahun sebelumnya. Namun, peratusan calon yang mendapat Gred ABC meningkat sebanyak 0.9%. Pada keseluruhannya, prestasi Mathematics meningkat dengan nilai GPMP sebanyak 0.01. Walau bagaimanapun, prestasi keseluruhan mata pelajaran Science telah menurun dengan nilai GPMP sebanyak 0.03 berbanding tahun 2010. Peratusan calon yang mendapat Gred A dan Gred ABC juga menurun, masing-masing sebanyak 2.0% dan 0.8%.

Jadual 8 menunjukkan analisis prestasi dan gred purata Bahasa Cina bagi tahun 2010 dan 2011. Peratusan calon yang mendapat Gred A dan ABC bagi mata pelajaran Bahasa Cina – Pemahaman meningkat daripada tahun sebelumnya, masing-masing sebanyak 2.1% dan 1.8%. Pada keseluruhannya, prestasi mata pelajaran ini meningkat dengan nilai GPMP sebanyak 0.08. Walau bagaimanapun, prestasi mata pelajaran Bahasa Cina – Penulisan telah menurun dengan nilai GPMP sebanyak 0.06 berbanding tahun 2010. Peratusan calon yang mendapat Gred A dan Gred ABC juga menurun, masing-masing sebanyak 1.9% dan 1.6%.

Jadual 9 menunjukkan analisis prestasi dan gred purata Bahasa Tamil bagi tahun 2010 dan 2011. Kedua-dua prestasi mata pelajaran Bahasa Tamil – Pemahaman dan Penulisan menunjukkan peningkatan bagi Gred A iaitu 3.9% dan 0.7%, manakala Gred ABC pula masing-masing 3.0% dan 0.8%. GPMP Bahasa Tamil – Pemahaman menurun sebanyak 0.10 dan Bahasa Tamil – Penulisan sebanyak 0.04 berbanding tahun 2010.

Ujian Aptitud

Tahun ini merupakan tahun ketiga Ujian Aptitud diduduki oleh semua murid Tahun 6. Prestasi dalam ujian dapat memberi gambaran tentang kebolehan dan kesediaan mental murid sebelum memasuki sekolah menengah. Pengetahuan tentang perkara ini sangat berguna kepada murid untuk memahami diri masing-masing, guru untuk memahami murid-murid dan juga ibu bapa untuk memahami anak-anak mereka.

Potensi diri (aptitud) murid dilaporkan berdasarkan dua kemahiran iaitu kemahiran berfikir dan kemahiran menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Pelaporan dinyatakan dalam bentuk Band 1 (terendah) hingga Band 4 (tertinggi). Minat dan kecenderungan murid terhadapbidang Akademik, Teknik dan Vokasional, Seni, Budaya dan Sosial atau Sukan turut dilaporkan.
Ingin ditekankan bahawa maklumat keputusan Ujian Aptitud tidak dinyatakan dalam slip keputusan UPSR, tetapi boleh diperoleh melalui sekolah. Ibu bapa digalakkan untuk mendapatkan maklumat tersebut bagi mengetahui minat, potensi dan kecenderungan anak masing-masing.

Penutup

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya rakamkan kepada semua pihak yang menjalankan tugas dan tanggungjawab khasnya kepada pentadbir sekolah, guru-guru, persatuan ibu bapa dan guru, badan-badan sukarela, serta pihak media massa dalam memastikan kejayaan anak-anak kita dalam pelajaran. Saya yakin kejayaan yang dikecapi adalah hasil daripada usaha dan perancangan yang rapi semua pihak yang terlibat.

Akhir kata saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak Lembaga Peperiksaan kerana berjaya menghasilkan kertas peperiksaan yang dijamin kesahan dan kebolehpercayaannya. Ucapan sama juga ditujukan kepada semua petugas peperiksaan kerana telah berjaya memastikan kelancaran peperiksaan yang dikendalikan sehingga keputusan UPSR berjaya dikeluarkan pada hari ini. Sesungguhnya permuafakatan dan kerjasama semua pihak turut menyumbang kepada kecemerlangan ini.

Terima kasih.

Kementerian Pelajaran Malaysia
Putrajaya
17 November 2011

Carian Lain :

  • statistik keputusan upsr di malaysia (2)
  • analisi keputusan peperiksaan upsr 2013 (1)
  • gred abc murid sekolah rendah (1)
  • komen analisis prestasi peperiksaan (1)
  • sjk camalisa keputusan ujian (1)
  • smkdbds analisis keputusan ujian (1)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge